Thursday, February 21, 2008

Anti-Intelektualisme II

Terdahulu, kita telah mengangkat isu anti-intelektualisme sebagai satu gejala yang telah menyusup masuk ke dalam setiap ruang kehidupan kita masakini. Mungkin perlu di sini, sebagai sambungan, menjelaskan dengan lebih terperinci apa yang dimaksudkan dengan konsep 'anti-intelektualisme' itu sendiri.

Secara umum, anti-intelektualisme pernah didefinisikan oleh sejarawan Amerika, Richard Hofstadter, sebagai "resentment and suspicion of the life of the mind and of those who are considered to represent it; and a disposition constantly to minimize the value of that life." (lihat, Anti-Intellectualism in American Life, ms. 7) Di sini, sudah tentu ada perbezaan antara anti-intelektualisme sebagai satu sikap dengan kedaifan atas sebab-sebab tertentu seperti keterbatasan minda kerana kurang pendedahan, taraf pendidikan, lingkungan sosial, dan sebagainya. Dalam erti kata lain, anti-intelektualisme, seperti mana yang ditekankan oleh Hofstadter, lebih merupakan suatu kecenderungan atau sikap (attitude) yang boleh muncul di dalam golongan elit seperti kelompok terpelajar, pemimpin dan agamawan, mahupun golongan umum seperti kelompok massa. Namun, kesannya pasti lebih serius sekiranya sikap anti-intelektualisme ini amat ketara di dalam kelompok elit - terutamanya golongan pemimpin (atau bakal pemimpin) dan inteligentsia masyarakat yang umumnya berkepentingan menggubal dasar dan mempunyai akses pada resources. (Ini perlu kupasan yang lanjut di lain masa.)

Berbalik pada definisi anti-intelektualisme, menarik juga apabila kita merujuk pada tulisan Azhar Ibrahim Alwee, yang pernah mengapungkan konsep ini dan membedahnya secara ringkas tetapi tuntas di dalam tulisannya "Anti-Intellectualism: The Predicament of Our Time" (lihat The Muslim Reader, Sept-Dec. 2004).

Menurut Azhar, ada tiga jalur anti-intelektualisme, iaitu: (1) sikap anti-rasionalisme yang menyerang penggunaan akal dan menganggapnya sebagai punca utama mengapa manusia berpaling atau tidak endahkan ketetapan absolut; (2) anti-elitisme yang menolak segala notion of excellence and standard yang membezakan sesuatu pemahaman khusus dari yang umum; dan (3) instrumentalisme yang tidak reflective, atau, khususnya, ideologi kapitalisme yang menjadikan kepraktisan dan matawang pasaran sebagai ukuran segala-galanya - lantas memperkecilkan segala usaha kritis untuk merenung-kembali dan memikir-ulang kondisi masyarakat yang tidak mendatangkan keuntungan dari sudut perkiraan wang dan ekonomi.

Saya kira, tiga jalur yang diketengahkan oleh Azhar penting dikembangkan dan setiap jalur boleh diwacanakan secara tersendiri.

Selanjutnya, beliau menyentuh 5 aspek anti-intelektualisme yang ketara, iaitu: (a) primacy of obscurantism - iaitu, mengangkat pemikiran-pemikiran yang keliru atau tidak jelas dan menganggapnya sebagai pemikiran sophisticated mahupun semacam suatu advanced theorizing; (b) aversion to diagnostic thinking - iaitu, perasaan tidak sabar pada segala usaha memikirkan sesuatu isu secara kritis dan mendalam, dan sebaliknya, mahukan penyelesaian cepat dengan implementasi yang segara tanpa mahu mengupasnya terlebih dahulu; (c) persistence of dogmatic mind - iaitu, kecenderungan mengangkat sesuatu pendapat sebagai final dan tidak mahu mempersoalkannya, yang diperlukan cuma pengabdian pada pendapat tersebut; (d) monopolistic exclusivity of a dominant group - iaitu, kelompok yang dominan seringkali mengkontrol dan menjadi penentu baik-buruk sesuatu perkara atau pemikiran, serta tidak toleran pada suara-suara yang menentang mahupun yang sekadar berbeza pendapat; (e) trivializing of the problems of society - iaitu, memperkecilkan sesuatu masalah dengan mengatakan ianya terjadi di setiap masyarakat, dan lantas menghilangkan komitmen terhadap jalan penyelesaian serta menjerumuskan diri ke dalam suatu relativisme nilai yang merosak.

Saya kira, kupasan Azhar menarik difikirkan bersama. Pastinya, banyak contoh-contoh konkrit yang boleh disebutkan bagi setiap manifestasi anti-intelektualisme sebagaimana yang telah disebutkan oleh Azhar. Biasanya, fenomena anti-intelektualisme ini hanya dapat dikesan melalui ungkapan dan tindakan seseorang mahupun kelompok.

Contohnya, kita mungkin pernah mendengar 'nasihat' supaya jangan membuang masa berdiskusi berjela-jela tentang isu-isu masyarakat; ianya "tidak berfaedah" kerana yang diperlukan ialah tenaga sukarelawan yang dapat "turun padang" dan melakukan kerja-kerja kebajikan secara langsung demi menyelesaikan masalah sosial. Asumsi dari pendapat sedemikian ialah aksi dan pemikiran adalah dua wilayah yang terpisah dan yang pemikiran harus disubordinatkan kepada aksi. Inilah satu kecenderungan anti-intelektual yang digelar oleh pemikir dan pendidik dari Brazil, Paulo Freire, sebagai aktivisme kosong! (lihat, Pedagogy of the Oppressed) Bukankah kesan kekeliruan ini jelas di dalam masyarakat? Semakin banyak program-program kemasyarakatan, semakin meningkat masalah-masalah sosial. Mungkin yang diperlukan ialah semacam praksis - teori atau pemikiran yang jelas dan utuh, menggerakkan aksi; dan aksi didasari oleh rangka teori atau pemikiran yang juga jelas dan utuh.

Mungkin satu lagi contoh boleh saya ketengahkan. Sekiranya anti-intelektualisme itu ialah suatu sikap, maka sikap yang terlalu gemar pada perkara-perkara yang mudah dan ringkas adalah sebahagian dari manifestasi anti-intelektualisme itu sendiri. Begini: Sekiranya seseorang itu tiada masa dan selera untuk mendengar, berdiskusi dan membahaskan sesuatu masalah secara ilmiah dan mendalam, tetapi ditugaskan untuk membicarakan dan menunjukkan jalan penyelesaian terhadap sesuatu isu, bagaimanakah kita dapat yakin akan apa yang dibicarakannya mahupun menerima rekomendasinya terhadap jalan penyelesaian tersebut? Lebih merunsingkan, sekiranya individu atau kelompok tersebut memperlekehkan usaha-usaha mengkaji dan meneliti masalah tersebut, dan menganggapnya "membuang masa" atau "terlalu 'atas'/'intelektual'/'tidak praktikal'". Maka apa kesannya? Kesannya ialah sesuatu masalah yang rumit dan complex (yang memerlukan analisa dari berbagai sudut) dilihat secara reduksionis dan simplistik. Maka cara menanganinya juga menjadi simplistik mengikut cara pemikiran individu/kelompok tersebut yang sememangnya naif dan terbatas. Namun, kerana sikap anti-intelektualisme-nya yang kental, dia tidak sedar akan kekurangannya; malah, dia akan mempertahankan caranya mengkonsepsikan masalah itu sebagai yang paling benar dan jalan penyelesaian yang diajukannya sebagai yang terbaik dan berkesan! Padahal, dia langsung tidak menyelesaikan masalah tersebut, malah merumitkannya kerana telah menjadi sebahagian dari masalah itu!

Inilah musibah yang akan terjadi sekiranya anti-intelektualisme menjadi dominan di dalam sistem nilai masyarakat - khususnya bagi kelompok elita dan yang berpengaruh. Seorang pemimpin yang tidak gemar membaca dan hanya boleh faham jika isu masyarakat yang rumit diterangkan melalui tiga butiran ringkas, adalah pemimpin yang bersikap anti-intelektual. Seorang agamawan yang berpendirian bahawa segala masalah masyarakat (seperti kemiskinan, perceraian, seks rambang, dan sebagainya) berpunca dari soal 'kurang didikan agama', 'kurang iman', 'tidak bersembahyang' atau 'godaan jin', adalah agamawan anti-intelektual. Seorang aktivis masyarakat yang merasakan dirinya tidak perlu tahu akan teori-teori sosial, adalah seorang aktivis yang anti-intelektual. Seorang guru yang tidak mahu tahu akan masalah lingkungannya dan hanya mahu mengajar dari buku teks yang kering konteks, adalah seorang guru yang anti-intelektual. Seorang penyelidik atau penggubal dasar yang menggali sumber-sumber pengetahuannya mengenai sesuatu isu daripada laporan-laporan akhbar dan internet dan malas ke perpustakaan dan menelaah kajian-kajian ilmiah mengenai isu tersebut, adalah seorang penyelidik dan penggubal dasar yang anti-intelektual. Seorang wartawan yang tidak gemar berdiskusi tentang hal ehwal semasa dan menghadiri sesi-sesi ilmiah di dalam menganalisa sesuatu isu semasa, adalah seorang wartawan anti-intelektual. Mungkin cukup contoh sikap anti-intelektualisme buat tahap ini.

Berbalik pada kesan anti-intelektualisme. Satu lagi perkara harus disebutkan di sini: Sesuatu masalah itu akan menjadi rumit lagi sekiranya kita mengamanahkan tugas mencari jalan penyelesaian pada individu atau kelompok yang tidak arif dan berpengetahuan dalam sesuatu isu tersebut. Namun, yang tidak berpengetahuan mungkin boleh dididik dan dengan pendedahan yang betul dan secukupnya, mungkin boleh berubah menjadi arif dan bijaksana. Tetapi jika yang tidak berpengetahuan itu menganggap dirinya serba-tahu dan kerana jolokan pangkat yang diberikan, berlagak seperti ahli dalam bidang tersebut - dan ditambah pula dengan sikap anti-intelektualismenya yang tidak merasakan dirinya kekurangan dan perlu berusaha meningkatkan pengetahuannya - maka kesannya pada masyarakat amat buruk. Kelompok inilah yang harus kita awasi supaya citra dan usaha membangunkan masyarakat tidak dibabaskan oleh sifat mereka yang selayaknya dicirikan sebagai "bebalisma" (seperti yang dibincangkan oleh almarhum Professor Syed Hussein Alatas - lihat, Intellectuals in Developing Societies).

Saya kira, anti-intelektualisme itu sebahagian dari ciri bebalisma.

No comments: