Wednesday, February 27, 2008

Infantilisme Kampus

Kebelakangan ini, saya sering ke kampus untuk kuliah pengajian pos-siswazah. Kampus inilah yang dibangga-banggakan sebagai antara yang terbaik di Asia. Mungkin kalau diukur dari aspek pengurusan dan sistem pengendaliannya, ianya boleh dianggap antara yang terbaik dan tentunya paling efficient. Namun, itu bukanlah tugas utama sesebuah universiti. Misi dan fungsi utama sesebuah universiti ialah untuk melahirkan insan berfikir yang dapat berfungsi di dalam masyarakatnya dan menyumbang ke arah pembinaan tamadun bersama. Sekiranya sesebuah universiti itu hanya giat melatih pelajar untuk mengisi industri-industri yang memerlukan tenaga kerja, lebih layak ianya jangan dipanggil universiti; panggillah ia politeknik ataupun kilang-kilang latihan pekerja!
Inilah kesan paling utama yang saya rasakan setiap kali ke kampus. Lihat saja papan-papan tanda merata kampus yang menayangkan segala kegiatan para siswazah di dalam kelab dan kumpulan masing-masing. Amat mengecewakan! Jarang kita temui unsur-unsur yang serius menunjukkan mereka inilah bakal kelompok terpelajar yang akan memimpin masyarakat tidak lama lagi. Semangat dan idealisme sosial yang sering kita kaitkan dengan gerakan-gerakan pelajar di universiti, langsung tidak kelihatan. Yang kelihatan hanyalah unsur suka-ria dan isu-isu mundane.
Saya berikan satu contoh. Salah satu kegiatan sebuah badan pelajar sepanjang awal tahun 2008 ialah menggalakkan para komunitas kampus bersuara dan memberikan pendapat. Untuk mengajak siswazah 'bersuara' akan apa jua isu di kampus, diletakkan beberapa helai kertas yang boleh ditulis dan dimasukkan ke dalam sebuah kotak ditepinya. Oleh kerana setting-nya ialah sebuah institusi pengajian tinggi, memanglah ini satu upaya yang baik untuk menggalakkan kebebasan bersuara dan berpendapat di kampus. Namun, contoh-contoh 'pendapat' yang dilekatkan di kotak tersebut amat mengecewakan saya. Antara lain, isu-isu yang dibangkitkan pihak penganjur untuk 'memancing' pendapat ialah isu seperti: "Wajarkah siswazah wanita dibenarkan memakai gincu di kampus?" dan "Adakah projektor-projektor di dalam kelas mencukupi?"
Tidak ada isu lainkah yang dapat dibangkitkan untuk mengajak para siswazah berfikir dan memberikan pendapat? Bukankah para siswazah ini merupakan antara anak-anak muda yang terpelajar di dalam masyarakat dan bakal menjadi pemimpin ataupun inteligentsia penting di agensi-agensi negara kelak? Oleh itu, bukankah lebih wajar mereka ini diajak berfikir mengenai isu-isu yang telah dan akan menjejas masyarakat seperti masalah jurang miskin-kaya, isu usia penduduk yang semakin meningkat, isu kemusnahan alam, isu penakatan negara, ekonomi dan sebagainya?
Saya kira, inilah yang boleh kita katakan sebagai infantilisme kampus. 'Infantilisme' di sini saya maksudkan sebagai satu orientasi pemikiran atau perbuatan yang kebudak-budakan (childish) dan tidak menunjukkan kematangan yang sepatutnya wujud pada golongan yang seusia dengannya. Dalam erti kata lain, ada semacam kebantutan dalam proses kematangan kelompok yang mendominasi kampus.
Cuba kita perhatikan. Jarang kita melihat kelompok-kelompok diskusi di kampus yang membicarakan isu-isu masyarakat dan pemikiran. Malah, lebih mudah kita melihat kegiatan suka-ria seperti berdansa, berlari-lari dan bersorak-sorakan (terutama pada waktu freshman orientation) daripada acara bedah buku, seminar dan forum, dan kempen-kempen berlandaskan suatu advokasi sosial. Inilah bezanya universiti sekarang dengan universiti tiga dekad yang lalu. Jika dilihat kampus-kampus pada tahun 70an dan awal 80an, jelas terasa semangat dan idealisme anak-anak muda yang ingin membicarakan isu-isu masyarakat yang dapat membawa pada perubahan sosial yang diinginkan. Kampus-kampus waktu itu telah melahirkan gerakan-gerakan pelajar yang berpengaruh di dalam masyarakat. Mungkin, kerana pihak penguasa sedar akan potensi pelajar dalam menggugat status quo masyarakat dan kepimpinannya, beberapa akta yang melarang sebarang kegiatan berunsur 'politik' di kampus dikuatkuasakan. Akibatnya, semangat dan idealisme kampus yang dapat digarap untuk menggerakkan perubahan sosial terus layu dan terbantut. Sebaliknya, para siswazah dididik untuk tekun mengikuti sistem pengajian yang menjanjikan habuan, iaitu jawatan-jawatan tinggi dan berprestij. Mereka inilah yang sekarang membentuk kelompok kelas menengah dan menjadi vanguard pada sistem yang sedia ada kerana mereka inilah penerima habuannya. Tidak seperti kelas menengah di Eropah yang menjadi pengusung liberalisme Barat, kelas menengah di sini lebih merupakan tembok konservatif yang boleh menyekat perubahan sosial secara mendadak.
Berbalik kepada isu infantilisme kampus. Kita pernah membincangkan sedikit mengenai masalah anti-intelektualisme. Sebenarnya, ada kaitan rapat antara anti-intelektualisme dengan infantilisme kampus yang telah saya sebutkan. Yang menjadikan masalah bertambah rumit ialah apabila infantilisme berbaur anti-intelektualisme itu, berleluasa di kampus-kampus dan pusat-pusat pengajian tinggi (yang sepatutnya menjadi epitome pemikiran sesebuah masyarakat). Sayangnya, inilah yang terjadi di kampus-kampus di negara ini. Contohnya dapat dilihat di dalam corak pemikiran dan kegiatan sebuah pertubuhan Islam di kampus. (Ini sekadar contoh dan tidak bermakna masalahnya terhad pada kelompok Melayu-Islam sahaja.)
Cuba kita bandingkan kegiatan dan kecenderungan para aktivis kampus yang bergiat di dalam pertubuhan Islam pada tahun-tahun 70/80an dan sekarang. Para aktivis kampus tiga dekad yang lalu rajin menulis dan membincangkan isu-isu serius dan yang menjejas masyarakat. (Kita tolak ke tepi dahulu soal ideologi pemikiran kerana itu soal yang perlukan treatment tersendiri di lain waktu.) Mereka ini menerbitkan jurnal atau majalah dan cuba mendekati, mengenali dan 'bermain-main' dengan gagasan-gagasan pemikir besar dunia Islam seperti Ibn Khaldun, Muhammad Iqbal dan Ibn Rusyd.
Bandingkan pula dengan 'isu-isu' yang menjadi obsesi aktivis Islam kampus sekarang ini. Mereka lebih berminat pada hal-hal seperti kelebihan setiap bulan di dalam kalender Islam, menyempitkan skop ajaran Islam pada rukun Iman dan rukun Islam, menjelaskan pada non-Muslim kelebihan memakai hijab bagi Muslimah, dan sebagainya. Kemuflisan pemikiran dan kebudak-budakan cara-pandang Islam para aktivis ini ketara di dalam inti perbincangan satu sesi diskusi yang kononnya membicarakan isu 'Islam and Gender'. Yang dibincangkan bukannya isu hak asasi wanita, kesetaraan jender, masalah patriarki, penindasan wanita, masalah interpretasi teks bersangkutan wanita, dan sebagainya; sebaliknya, yang dibincangkan di dalam sesi 'Islam and Gender' ini ialah sama ada berpacaran itu halal atau haram, bolehkah lelaki dan wanita bersentuhan tangan, apakah hukum berdua-duaan tanpa mahram dan hal-hal yang langsung tidak menunjukkan concern yang lebih luas dalam topik yang sebenarnya amat menjanjikan.
Inilah persoalan yang harus difikirkan dan ditangani segera. Sekiranya para inteligentsia dan golongan elita kita akan disalurkan melalui institusi-institusi pengajian tinggi yang melahirkan kelompok dominan seperti yang disebut diatas, maka masyarakat akan terus hanyut dibawa arus. Amaran pemikir Sepanyol, Ortega y Gasset, amat tepat disini: "Awas! Sang biadab (the barbarians) akan hadir dan mereka sedang berdiri di ambang peradaban." (Revolt of the Masses, 1932)

No comments: