Wednesday, February 27, 2008

Infantilisme Kampus

Kebelakangan ini, saya sering ke kampus untuk kuliah pengajian pos-siswazah. Kampus inilah yang dibangga-banggakan sebagai antara yang terbaik di Asia. Mungkin kalau diukur dari aspek pengurusan dan sistem pengendaliannya, ianya boleh dianggap antara yang terbaik dan tentunya paling efficient. Namun, itu bukanlah tugas utama sesebuah universiti. Misi dan fungsi utama sesebuah universiti ialah untuk melahirkan insan berfikir yang dapat berfungsi di dalam masyarakatnya dan menyumbang ke arah pembinaan tamadun bersama. Sekiranya sesebuah universiti itu hanya giat melatih pelajar untuk mengisi industri-industri yang memerlukan tenaga kerja, lebih layak ianya jangan dipanggil universiti; panggillah ia politeknik ataupun kilang-kilang latihan pekerja!
Inilah kesan paling utama yang saya rasakan setiap kali ke kampus. Lihat saja papan-papan tanda merata kampus yang menayangkan segala kegiatan para siswazah di dalam kelab dan kumpulan masing-masing. Amat mengecewakan! Jarang kita temui unsur-unsur yang serius menunjukkan mereka inilah bakal kelompok terpelajar yang akan memimpin masyarakat tidak lama lagi. Semangat dan idealisme sosial yang sering kita kaitkan dengan gerakan-gerakan pelajar di universiti, langsung tidak kelihatan. Yang kelihatan hanyalah unsur suka-ria dan isu-isu mundane.
Saya berikan satu contoh. Salah satu kegiatan sebuah badan pelajar sepanjang awal tahun 2008 ialah menggalakkan para komunitas kampus bersuara dan memberikan pendapat. Untuk mengajak siswazah 'bersuara' akan apa jua isu di kampus, diletakkan beberapa helai kertas yang boleh ditulis dan dimasukkan ke dalam sebuah kotak ditepinya. Oleh kerana setting-nya ialah sebuah institusi pengajian tinggi, memanglah ini satu upaya yang baik untuk menggalakkan kebebasan bersuara dan berpendapat di kampus. Namun, contoh-contoh 'pendapat' yang dilekatkan di kotak tersebut amat mengecewakan saya. Antara lain, isu-isu yang dibangkitkan pihak penganjur untuk 'memancing' pendapat ialah isu seperti: "Wajarkah siswazah wanita dibenarkan memakai gincu di kampus?" dan "Adakah projektor-projektor di dalam kelas mencukupi?"
Tidak ada isu lainkah yang dapat dibangkitkan untuk mengajak para siswazah berfikir dan memberikan pendapat? Bukankah para siswazah ini merupakan antara anak-anak muda yang terpelajar di dalam masyarakat dan bakal menjadi pemimpin ataupun inteligentsia penting di agensi-agensi negara kelak? Oleh itu, bukankah lebih wajar mereka ini diajak berfikir mengenai isu-isu yang telah dan akan menjejas masyarakat seperti masalah jurang miskin-kaya, isu usia penduduk yang semakin meningkat, isu kemusnahan alam, isu penakatan negara, ekonomi dan sebagainya?
Saya kira, inilah yang boleh kita katakan sebagai infantilisme kampus. 'Infantilisme' di sini saya maksudkan sebagai satu orientasi pemikiran atau perbuatan yang kebudak-budakan (childish) dan tidak menunjukkan kematangan yang sepatutnya wujud pada golongan yang seusia dengannya. Dalam erti kata lain, ada semacam kebantutan dalam proses kematangan kelompok yang mendominasi kampus.
Cuba kita perhatikan. Jarang kita melihat kelompok-kelompok diskusi di kampus yang membicarakan isu-isu masyarakat dan pemikiran. Malah, lebih mudah kita melihat kegiatan suka-ria seperti berdansa, berlari-lari dan bersorak-sorakan (terutama pada waktu freshman orientation) daripada acara bedah buku, seminar dan forum, dan kempen-kempen berlandaskan suatu advokasi sosial. Inilah bezanya universiti sekarang dengan universiti tiga dekad yang lalu. Jika dilihat kampus-kampus pada tahun 70an dan awal 80an, jelas terasa semangat dan idealisme anak-anak muda yang ingin membicarakan isu-isu masyarakat yang dapat membawa pada perubahan sosial yang diinginkan. Kampus-kampus waktu itu telah melahirkan gerakan-gerakan pelajar yang berpengaruh di dalam masyarakat. Mungkin, kerana pihak penguasa sedar akan potensi pelajar dalam menggugat status quo masyarakat dan kepimpinannya, beberapa akta yang melarang sebarang kegiatan berunsur 'politik' di kampus dikuatkuasakan. Akibatnya, semangat dan idealisme kampus yang dapat digarap untuk menggerakkan perubahan sosial terus layu dan terbantut. Sebaliknya, para siswazah dididik untuk tekun mengikuti sistem pengajian yang menjanjikan habuan, iaitu jawatan-jawatan tinggi dan berprestij. Mereka inilah yang sekarang membentuk kelompok kelas menengah dan menjadi vanguard pada sistem yang sedia ada kerana mereka inilah penerima habuannya. Tidak seperti kelas menengah di Eropah yang menjadi pengusung liberalisme Barat, kelas menengah di sini lebih merupakan tembok konservatif yang boleh menyekat perubahan sosial secara mendadak.
Berbalik kepada isu infantilisme kampus. Kita pernah membincangkan sedikit mengenai masalah anti-intelektualisme. Sebenarnya, ada kaitan rapat antara anti-intelektualisme dengan infantilisme kampus yang telah saya sebutkan. Yang menjadikan masalah bertambah rumit ialah apabila infantilisme berbaur anti-intelektualisme itu, berleluasa di kampus-kampus dan pusat-pusat pengajian tinggi (yang sepatutnya menjadi epitome pemikiran sesebuah masyarakat). Sayangnya, inilah yang terjadi di kampus-kampus di negara ini. Contohnya dapat dilihat di dalam corak pemikiran dan kegiatan sebuah pertubuhan Islam di kampus. (Ini sekadar contoh dan tidak bermakna masalahnya terhad pada kelompok Melayu-Islam sahaja.)
Cuba kita bandingkan kegiatan dan kecenderungan para aktivis kampus yang bergiat di dalam pertubuhan Islam pada tahun-tahun 70/80an dan sekarang. Para aktivis kampus tiga dekad yang lalu rajin menulis dan membincangkan isu-isu serius dan yang menjejas masyarakat. (Kita tolak ke tepi dahulu soal ideologi pemikiran kerana itu soal yang perlukan treatment tersendiri di lain waktu.) Mereka ini menerbitkan jurnal atau majalah dan cuba mendekati, mengenali dan 'bermain-main' dengan gagasan-gagasan pemikir besar dunia Islam seperti Ibn Khaldun, Muhammad Iqbal dan Ibn Rusyd.
Bandingkan pula dengan 'isu-isu' yang menjadi obsesi aktivis Islam kampus sekarang ini. Mereka lebih berminat pada hal-hal seperti kelebihan setiap bulan di dalam kalender Islam, menyempitkan skop ajaran Islam pada rukun Iman dan rukun Islam, menjelaskan pada non-Muslim kelebihan memakai hijab bagi Muslimah, dan sebagainya. Kemuflisan pemikiran dan kebudak-budakan cara-pandang Islam para aktivis ini ketara di dalam inti perbincangan satu sesi diskusi yang kononnya membicarakan isu 'Islam and Gender'. Yang dibincangkan bukannya isu hak asasi wanita, kesetaraan jender, masalah patriarki, penindasan wanita, masalah interpretasi teks bersangkutan wanita, dan sebagainya; sebaliknya, yang dibincangkan di dalam sesi 'Islam and Gender' ini ialah sama ada berpacaran itu halal atau haram, bolehkah lelaki dan wanita bersentuhan tangan, apakah hukum berdua-duaan tanpa mahram dan hal-hal yang langsung tidak menunjukkan concern yang lebih luas dalam topik yang sebenarnya amat menjanjikan.
Inilah persoalan yang harus difikirkan dan ditangani segera. Sekiranya para inteligentsia dan golongan elita kita akan disalurkan melalui institusi-institusi pengajian tinggi yang melahirkan kelompok dominan seperti yang disebut diatas, maka masyarakat akan terus hanyut dibawa arus. Amaran pemikir Sepanyol, Ortega y Gasset, amat tepat disini: "Awas! Sang biadab (the barbarians) akan hadir dan mereka sedang berdiri di ambang peradaban." (Revolt of the Masses, 1932)

Thursday, February 21, 2008

Anti-Intelektualisme II

Terdahulu, kita telah mengangkat isu anti-intelektualisme sebagai satu gejala yang telah menyusup masuk ke dalam setiap ruang kehidupan kita masakini. Mungkin perlu di sini, sebagai sambungan, menjelaskan dengan lebih terperinci apa yang dimaksudkan dengan konsep 'anti-intelektualisme' itu sendiri.

Secara umum, anti-intelektualisme pernah didefinisikan oleh sejarawan Amerika, Richard Hofstadter, sebagai "resentment and suspicion of the life of the mind and of those who are considered to represent it; and a disposition constantly to minimize the value of that life." (lihat, Anti-Intellectualism in American Life, ms. 7) Di sini, sudah tentu ada perbezaan antara anti-intelektualisme sebagai satu sikap dengan kedaifan atas sebab-sebab tertentu seperti keterbatasan minda kerana kurang pendedahan, taraf pendidikan, lingkungan sosial, dan sebagainya. Dalam erti kata lain, anti-intelektualisme, seperti mana yang ditekankan oleh Hofstadter, lebih merupakan suatu kecenderungan atau sikap (attitude) yang boleh muncul di dalam golongan elit seperti kelompok terpelajar, pemimpin dan agamawan, mahupun golongan umum seperti kelompok massa. Namun, kesannya pasti lebih serius sekiranya sikap anti-intelektualisme ini amat ketara di dalam kelompok elit - terutamanya golongan pemimpin (atau bakal pemimpin) dan inteligentsia masyarakat yang umumnya berkepentingan menggubal dasar dan mempunyai akses pada resources. (Ini perlu kupasan yang lanjut di lain masa.)

Berbalik pada definisi anti-intelektualisme, menarik juga apabila kita merujuk pada tulisan Azhar Ibrahim Alwee, yang pernah mengapungkan konsep ini dan membedahnya secara ringkas tetapi tuntas di dalam tulisannya "Anti-Intellectualism: The Predicament of Our Time" (lihat The Muslim Reader, Sept-Dec. 2004).

Menurut Azhar, ada tiga jalur anti-intelektualisme, iaitu: (1) sikap anti-rasionalisme yang menyerang penggunaan akal dan menganggapnya sebagai punca utama mengapa manusia berpaling atau tidak endahkan ketetapan absolut; (2) anti-elitisme yang menolak segala notion of excellence and standard yang membezakan sesuatu pemahaman khusus dari yang umum; dan (3) instrumentalisme yang tidak reflective, atau, khususnya, ideologi kapitalisme yang menjadikan kepraktisan dan matawang pasaran sebagai ukuran segala-galanya - lantas memperkecilkan segala usaha kritis untuk merenung-kembali dan memikir-ulang kondisi masyarakat yang tidak mendatangkan keuntungan dari sudut perkiraan wang dan ekonomi.

Saya kira, tiga jalur yang diketengahkan oleh Azhar penting dikembangkan dan setiap jalur boleh diwacanakan secara tersendiri.

Selanjutnya, beliau menyentuh 5 aspek anti-intelektualisme yang ketara, iaitu: (a) primacy of obscurantism - iaitu, mengangkat pemikiran-pemikiran yang keliru atau tidak jelas dan menganggapnya sebagai pemikiran sophisticated mahupun semacam suatu advanced theorizing; (b) aversion to diagnostic thinking - iaitu, perasaan tidak sabar pada segala usaha memikirkan sesuatu isu secara kritis dan mendalam, dan sebaliknya, mahukan penyelesaian cepat dengan implementasi yang segara tanpa mahu mengupasnya terlebih dahulu; (c) persistence of dogmatic mind - iaitu, kecenderungan mengangkat sesuatu pendapat sebagai final dan tidak mahu mempersoalkannya, yang diperlukan cuma pengabdian pada pendapat tersebut; (d) monopolistic exclusivity of a dominant group - iaitu, kelompok yang dominan seringkali mengkontrol dan menjadi penentu baik-buruk sesuatu perkara atau pemikiran, serta tidak toleran pada suara-suara yang menentang mahupun yang sekadar berbeza pendapat; (e) trivializing of the problems of society - iaitu, memperkecilkan sesuatu masalah dengan mengatakan ianya terjadi di setiap masyarakat, dan lantas menghilangkan komitmen terhadap jalan penyelesaian serta menjerumuskan diri ke dalam suatu relativisme nilai yang merosak.

Saya kira, kupasan Azhar menarik difikirkan bersama. Pastinya, banyak contoh-contoh konkrit yang boleh disebutkan bagi setiap manifestasi anti-intelektualisme sebagaimana yang telah disebutkan oleh Azhar. Biasanya, fenomena anti-intelektualisme ini hanya dapat dikesan melalui ungkapan dan tindakan seseorang mahupun kelompok.

Contohnya, kita mungkin pernah mendengar 'nasihat' supaya jangan membuang masa berdiskusi berjela-jela tentang isu-isu masyarakat; ianya "tidak berfaedah" kerana yang diperlukan ialah tenaga sukarelawan yang dapat "turun padang" dan melakukan kerja-kerja kebajikan secara langsung demi menyelesaikan masalah sosial. Asumsi dari pendapat sedemikian ialah aksi dan pemikiran adalah dua wilayah yang terpisah dan yang pemikiran harus disubordinatkan kepada aksi. Inilah satu kecenderungan anti-intelektual yang digelar oleh pemikir dan pendidik dari Brazil, Paulo Freire, sebagai aktivisme kosong! (lihat, Pedagogy of the Oppressed) Bukankah kesan kekeliruan ini jelas di dalam masyarakat? Semakin banyak program-program kemasyarakatan, semakin meningkat masalah-masalah sosial. Mungkin yang diperlukan ialah semacam praksis - teori atau pemikiran yang jelas dan utuh, menggerakkan aksi; dan aksi didasari oleh rangka teori atau pemikiran yang juga jelas dan utuh.

Mungkin satu lagi contoh boleh saya ketengahkan. Sekiranya anti-intelektualisme itu ialah suatu sikap, maka sikap yang terlalu gemar pada perkara-perkara yang mudah dan ringkas adalah sebahagian dari manifestasi anti-intelektualisme itu sendiri. Begini: Sekiranya seseorang itu tiada masa dan selera untuk mendengar, berdiskusi dan membahaskan sesuatu masalah secara ilmiah dan mendalam, tetapi ditugaskan untuk membicarakan dan menunjukkan jalan penyelesaian terhadap sesuatu isu, bagaimanakah kita dapat yakin akan apa yang dibicarakannya mahupun menerima rekomendasinya terhadap jalan penyelesaian tersebut? Lebih merunsingkan, sekiranya individu atau kelompok tersebut memperlekehkan usaha-usaha mengkaji dan meneliti masalah tersebut, dan menganggapnya "membuang masa" atau "terlalu 'atas'/'intelektual'/'tidak praktikal'". Maka apa kesannya? Kesannya ialah sesuatu masalah yang rumit dan complex (yang memerlukan analisa dari berbagai sudut) dilihat secara reduksionis dan simplistik. Maka cara menanganinya juga menjadi simplistik mengikut cara pemikiran individu/kelompok tersebut yang sememangnya naif dan terbatas. Namun, kerana sikap anti-intelektualisme-nya yang kental, dia tidak sedar akan kekurangannya; malah, dia akan mempertahankan caranya mengkonsepsikan masalah itu sebagai yang paling benar dan jalan penyelesaian yang diajukannya sebagai yang terbaik dan berkesan! Padahal, dia langsung tidak menyelesaikan masalah tersebut, malah merumitkannya kerana telah menjadi sebahagian dari masalah itu!

Inilah musibah yang akan terjadi sekiranya anti-intelektualisme menjadi dominan di dalam sistem nilai masyarakat - khususnya bagi kelompok elita dan yang berpengaruh. Seorang pemimpin yang tidak gemar membaca dan hanya boleh faham jika isu masyarakat yang rumit diterangkan melalui tiga butiran ringkas, adalah pemimpin yang bersikap anti-intelektual. Seorang agamawan yang berpendirian bahawa segala masalah masyarakat (seperti kemiskinan, perceraian, seks rambang, dan sebagainya) berpunca dari soal 'kurang didikan agama', 'kurang iman', 'tidak bersembahyang' atau 'godaan jin', adalah agamawan anti-intelektual. Seorang aktivis masyarakat yang merasakan dirinya tidak perlu tahu akan teori-teori sosial, adalah seorang aktivis yang anti-intelektual. Seorang guru yang tidak mahu tahu akan masalah lingkungannya dan hanya mahu mengajar dari buku teks yang kering konteks, adalah seorang guru yang anti-intelektual. Seorang penyelidik atau penggubal dasar yang menggali sumber-sumber pengetahuannya mengenai sesuatu isu daripada laporan-laporan akhbar dan internet dan malas ke perpustakaan dan menelaah kajian-kajian ilmiah mengenai isu tersebut, adalah seorang penyelidik dan penggubal dasar yang anti-intelektual. Seorang wartawan yang tidak gemar berdiskusi tentang hal ehwal semasa dan menghadiri sesi-sesi ilmiah di dalam menganalisa sesuatu isu semasa, adalah seorang wartawan anti-intelektual. Mungkin cukup contoh sikap anti-intelektualisme buat tahap ini.

Berbalik pada kesan anti-intelektualisme. Satu lagi perkara harus disebutkan di sini: Sesuatu masalah itu akan menjadi rumit lagi sekiranya kita mengamanahkan tugas mencari jalan penyelesaian pada individu atau kelompok yang tidak arif dan berpengetahuan dalam sesuatu isu tersebut. Namun, yang tidak berpengetahuan mungkin boleh dididik dan dengan pendedahan yang betul dan secukupnya, mungkin boleh berubah menjadi arif dan bijaksana. Tetapi jika yang tidak berpengetahuan itu menganggap dirinya serba-tahu dan kerana jolokan pangkat yang diberikan, berlagak seperti ahli dalam bidang tersebut - dan ditambah pula dengan sikap anti-intelektualismenya yang tidak merasakan dirinya kekurangan dan perlu berusaha meningkatkan pengetahuannya - maka kesannya pada masyarakat amat buruk. Kelompok inilah yang harus kita awasi supaya citra dan usaha membangunkan masyarakat tidak dibabaskan oleh sifat mereka yang selayaknya dicirikan sebagai "bebalisma" (seperti yang dibincangkan oleh almarhum Professor Syed Hussein Alatas - lihat, Intellectuals in Developing Societies).

Saya kira, anti-intelektualisme itu sebahagian dari ciri bebalisma.

Friday, February 15, 2008

Anti-Intelektualisme

Gejala anti-intelektualisme bukanlah perkara yang baru muncul. Namun, saya kira ianya sudah sampai ke tahap yang boleh kita sebut sebagai 'penyakit budaya'. Gejala ini begitu berleluasa sehingga ianya sudah menjadi sebati dengan cara kita mengatur kehidupan seharian kita - baik di dalam bidang keagamaan, corak kepimpinan masyarakat mahupun budaya kerja seharian. Dalam erti kata lain, gejala anti-intelektualisme telah menakluk segala dunia kehidupan kita (atau invasion of the lifeworld, sebagai meminjam istilah Habermas, di mana 'lifeworld' bermaksud "the unacknowledged frames of reference and sets of unquestioned assumptions that structure our actions and forms of reasoning" -- Stephen D. Brookfield, The Power of Critical Theory, ms. 57).

Cuba kita lihat dan perhatikan. Sekurang-kurangnya, dua perkara menjadi ukurtara kesan anti-intelektualisme di dalam kehidupan kita. Pertama, mementingkan 'packaging' atau tampilan luaran daripada inti sesuatu idea atau pendapat yang dikemukakan secara substantif. Ini termasuk sikap mudah kagum pada gaya persembahan, penampilan diri dan 'title' atau panggilan jawatan. Kedua, memperlekehkan kupasan mendalam sesuatu mauduk perbincangan dan lebih menginginkan sesuatu yang cepat, mudah dan segera. Ketiga, malas merujuk pada autoriti yang sah; sebaliknya, dia lebih gemar merujuk pada apa yang berlambak, mudah didapati dan tidak perlu difikirkan lagi (sesuatu yang 'obvious' dan dapat diterima oleh mindanya yang simplistic dan naive).

Mungkin beberapa contoh mudah dapat menjelaskan perkara-perkara yang saya sebutkan di atas. Bagaimanakah kiranya jika seorang ketua, pemimpin atau guru lebih mementingkan gaya dan teknik persembahan sesuatu isu penting (menggunakan PowerPoint dengan grafik-grafik yang gah) daripada intinya yang dibahaskan dan dibentangkan secara substantif? Atau ambil contoh mereka yang lebih gemar (kerana mudah dan segera) mengutip bahan-bahan dari internet di dalam kajian sesuatu isu penting daripada merujuk pada sumber-sumber seperti buku-buku yang diikhtiraf kesarjanaannya (termasuk artikel-artikel di jurnal-jurnal bertauliah). Juga, contoh mereka yang malas membaca dan berdiskusi tetapi sering mahu pendapatnya didengar dan diambilkira. Boleh juga kita berikan contoh penganjur acara-acara keilmuan yang mengambil masa dan tenaga yang banyak memikirkan 'deco' pentas, 'backdrop', pakaian seragam dan sebagainya, tetapi tidak sedikit pun disentuh mengenai bagaimana mempersiapkan diri dan peserta lain supaya ceramah oleh tokoh ilmuan yang dijemput dapat difahami, dihujat dan dimanfaatkan.

Kesemua ini menunjukkan satu sudut sikap anti-intelektualisme yang jelas. Kesannya pada pembentukan pemikiran masyarakat amat ketara. Kelembapan wacana dan kemunduran corak pemikiran yang kita lihat dilingkungan masyarakat hari ini adalah natijah dari sikap anti-intelektualisme yang berleluasa dan dianggap 'biasa' tanpa malu dan mahu mempermasalahkannya. Segala percubaan untuk melihat sesuatu isu daripada sudut yang kritis dan mendalam, akan dikatakan "terlalu intelektual". Sebenarnya, kekata "terlalu intelektual" inilah yang paling jelas menunjukkan sikap anti-intelektual itu sendiri!

Thursday, February 14, 2008

Mukaddimah


"Beware of acquiring savage speech in your quest for eloquence."

- Ibn al-Muqaffa



Selamat datang ke ruang eksperimentasi pemikiran dalam pelbagai perkara yang menjadi buah fikiran, yang sering difikirkan, yang kadangkala difikirkan, yang juga tak terfikir - dan yang tak mahu difikirkan.